PETALING JAYA: Keputusan membenarkan kuasa pasaran menentukan harga diesel dan ayam menimbulkan persoalan utama: Adakah tindakan itu rasional?
Ketika inflasi masih menekan dengan jangkaan kadar faedah kekal tinggi untuk tempoh lebih lama selain gangguan kepada rantaian bekalan, bukankah tindakan sepatutnya dibuat dengan mengawal harga barangan keperluan itu?
Mungkin bagi kebanyakan pihak mengapungkan harga dan menghapuskan subsidi dilihat logik, namun pada masa sama ada juga kesan jangka panjang kepada pengguna.
Melalui Belanjawan 2024, kerajaan mengumumkan beberapa pelan rasionalisasi antaranya penamatan harga siling ayam mulai 1 Nov lalu manakala subsidi diesel pula dihapuskan secara berperingkat berdasarkan garis masa ditetapkan kelak.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata langkah itu memastikan kawalan harga dan subsidi dikekalkan untuk keperluan lain memanfaatkan golongan memerlukan selain memastikan kemampanan fiskal.
Kerajaan dijangka menikmati penjimatan besar. Contohnya RM4.1 bilion dengan menyasarkan subsidi elektrik hanya untuk golongan berpendapatan rendah pada separuh tahun 2023.
Penjimatan dari subsidi pukal dialihkan ke program bantuan bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), di mana kadar maksimum telah meningkat daripada RM3,100 ke RM3,700. Tambahan lagi, Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi isi rumah turut dinaikkan daripada RM600 ke RM1,200 tahun ini.
Tahun ini, perbelanjaan subsidi dijangka melebihi RM81 bilion.
Tekanan bekalan
Kesan kawalan harga ialah penurunan mendadak dalam bekalan, dikenali tekanan bekalan.
Sebagai gambaran, mari kita lihat industri ternakan ayam. Apabila harga siling ditetapkan, pembekal ayam tidak dapat memaksimumkan keuntungan walaupun permintaan meningkat kerana mereka tidak dibenarkan menaikkan harga.
Mereka juga berdepan masalah menyerap kos tambahan apabila harga makanan ayam meningkat, juga disebabkan harga siling.
Keadaan itu boleh mewujudkan situasi kurang minat untuk pengeluar meningkatkan pengeluaran, berpotensi mewujudkan masalah bekalan di pasaran sehingga menyukarkan pengguna.
Inisiatif pelabur untuk melabur juga berkurangan yang kesannya turut dirasai kepada penetapan paras gaji rendah, lebih buruk ramai berisiko hilang kerja.
Pengeluar mungkin mengambil jalan keluar untuk membekalkan produk berkualiti rendah atau terpaksa menutup perniagaan, yang membawa kepada tekanan bekalan.
Ancaman persaingan
Harga siling juga tidak menggalakkan penyertaan pemain baharu ke dalam pasaran, sekali gus mengekang persaingan.
Biasanya, lebih ramai pemain bermakna persaingan lebih sengit, membawa kepada pengurangan harga yang baik untuk pengguna.
Sebaliknya, harga siling menghalang pembekal daripada memaksimumkan keuntungan, sekali gus mengurangkan insentif untuk pihak lain memasuki pasaran.
Kesan negatif daripada kekurangan persaingan adalah jelas dalam pembekalan makanan kepada penternak ayam.
Siasatan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) tahun lalu mendedahkan lima pengilang makanan ayam tempatan yang telah didapati bersalah dalam bersubahat untuk mengekalkan harga makanan ayam pada awal 2020 dan pertengahan 2022. Mereka didenda RM415.5 juta.
Memandangkan makanan ayam menyumbang 70% daripada kos pengeluaran, pakatan sulit tersebut memberi tekanan kepada margin keuntungan yang sudah kecil untuk pembekal ayam.
Sebaliknya, mekanisme harga terapung membolehkan penternak ayam menaikkan harga untuk menampung kos tambahan.
Ini juga merupakan insentif untuk pemain baharu memasuki pasaran, membawa kepada peningkatan bekalan dan harga lebih rendah.
Gula dan minyak masak seterusnya?
Selepas ayam dan diesel, kini ada desakan supaya rasionalisasi subsidi diperluaskan kepada barangan lain seperti gula dan minyak masak.
Industri gula adalah duopoli, dengan MSM Malaysia Holdings Bhd mempunyai 60% bahagian pasaran dan Central Sugars Refinery (CSR) Sdn Bhd menyumbang baki 40%.
Pada Mei, kedua-dua syarikat meminta kerajaan menaikkan harga siling gula di pasaran runcit sebanyak RM1 daripada paras RM2.85 sekilogram ditetapkan pada 2018.
Pada November, Pengarah Urusan Rangkaian Runcit Mydin Mohamed Holdings Bhd, Ameer Ali Mydin, berkata kerajaan perlu mengapungkan harga gula atau menaikkan siling kepada RM3.80.
Beliau berkata, “tidak logik” mengekalkan harga siling semasa di tengah-tengah kenaikan kos bahan mentah.
Menurutnya, MSM dan CSR perlu menanggung kos sebanyak 80 sen bagi setiap kg gula yang dihasilkan.
Terdapat juga seruan sama supaya subsidi minyak masak peket 1kg ditarik balik.
Pada sidang Dewan Rakyat 27 Nov lalu, Ahli Parlimen Titiwangsa, Johari Ghani mencadangkan subsidi minyak masak yang dijual dalam bungkusan 1kg digantikan dengan bantuan tunai terus kepada golongan berpendapatan rendah.
Menurutnya, bawah sistem semasa, perniagaan besar akan membeli minyak masak secara pukal pada harga subsidi dan kemudian menjualnya kepada firma kecil untuk mendapatkan keuntungan.
Tindakan menghapuskan subsidi akan memastikan minyak masak peket 1kg dapat dijual pada harga pasaran manakala kerajaan dapat menjimatkan subsidi dan mengelakkan ketirisan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, berkata kerajaan menjalankan audit penjualan minyak masak bersubsidi di seluruh negara sejak Oktober bagi menyelesaikan isu ketirisan.
Katanya, ia akan membantu Putrajaya menentukan keperluan sebenar dan memperkemas kaedah pemberian subsidi.
Sebanyak RM500 juta diperuntukkan untuk subsidi minyak masak namun unjuran menunjukkan peningkatan hampir empat kali ganda iaitu RM1.9 bilion.